Pendarahan Ringan Sebelum Haid - Adakah Ia Normal? - Cosmopolitan - Majalah Paling Laris Di Dunia
Cosmopolitan - Majalah Paling Laris Di Dunia

Pendarahan Ringan Sebelum Haid – Adakah Ia Normal?

Kamu pasti hairan kenapa tiba-tiba ada spotting sebelum period kamu bermula… Ini sebabnya!
Foto: Ruben Chamorro

Apa yang dikira sebagai pendarahan ringan?

Pendarahan ringan dikenali sebagai spotting. Menurut Dr Rebecca Brightman, ia merupakan pendarahan kecil di ‘Miss V‘ yang berlaku satu hingga tiga hari sebelum datang haid.

Brightman menjelaskan pendarahan ringan yang berlaku dalam tempoh waktu ini adalah normal. Jika kamu perasan spotting berpanjangan selama empat hari atau lebih, kamu disarankan berjumpa pakar sakit puan. Yang penting adalah mengesan apa yang menjadi kebiasaan untuk kamu. Brightman mengatakan sesetengah wanita perasan spotting datang dua hari sebelum haid. Tapi, jika kamu tak pernah mengalaminya dan tiba-tiba ia muncul, adalah lebih baik kamu berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.

Segelintir wanita yang mengambil pil perancang juga berkata mereka mengalami spotting sekiranya skip atau lambat mengambil pil seperti biasa. Wanita yang memasang itrauterine device (IUD) iaitu alat pencegah kehamilan – hormon atau bukan hormon – juga cenderung mengalami pendarahan ringan sebelum haid.

Kenapa kita mengalaminya?

Haid kamu bermula apabila tahap hormon rendah, memberi isyarat tiada kehamilan bakal berlaku dan memberitahu tubuh untuk menyingkir lapisan pada dinding rahim yang sepatutnya menyimpan telur subur. “Lapisan ini biasanya disingkirkan dalam bentuk yang tetap, tapi bila ia mula break down, ia akan berdarah sedikit,” kata Brightman.

Pada dasarnya, sebelum lapisan pada dinding rahim mengalir dan keluar (haid), ia akan mula ‘pecah’ yang menyebabkan sedikit pendarahan dalam rahim. Sebab itulah kita boleh lihat darah spotting lebih cerah sikit berbanding darah haid yang lebih pekat dan gelap. Ini menunjukkan bahawa spotting yang berlaku dalam masa dua atau beberapa hari sebelum tempoh haid (apabila lapisan tersebut pecah) adalah normal, namun tidak normal jika terjadi lima hari sebelum haid.

Apa maksudnya…

Brightman mengatakan beberapa masalah kesihatan serius boleh dikesan melalui spotting, sebab itulah kamu kena ambil berat apa-apa perubahan yang berlaku. Contohnya apabila kamu tiba-tiba ada spotting sedangkan kamu tak pernah alaminya sebelum ini atau kamu mula spotting lima hari sebelum haid.

Sesetengah wanita yang mempunyai masalah obesiti, diabetes, dan hipertensi didapati mempunyai risiko terhadap lebihan tumbesaran (overgrowth) lapisan rahim dan ia boleh berlaku sebagai spotting. Beberapa jenis tumbesaran seperti hiperplasia boleh meningkatkan risiko kanser rahim.

Spotting juga boleh menjadi tanda kemunculan polip dalam rahim. Brightman menjelaskan, “Polip ini bersifat ‘jinak’ (benign), walaupun ada kalanya tidak. Dan sebab itulah kami membuangnya bagi wanita yang mengalami pendarahan ringan (spotting).”

Spotting sebelum haid boleh menjadi simptom kanser rahim. Namun, Brightman menekankan kes ini sangat jarang berlaku dan jika kanser rahim adalah punca berlakunya pendarahan, ia kebiasannya terjadi selepas seks – bukannya sebelum datang haid.

Artikel asal: Hannah Smothers (cosmopolitan.com)