Gula Bukan Musuh Kamu? - Cosmopolitan - Majalah Paling Laris Di Dunia
Cosmopolitan - Majalah Paling Laris Di Dunia

Gula Bukan Musuh Kamu?

Kamu tidak boleh mengelak terus daripada gula kerana ia sangat penting untuk tubuh. Walaupun banyak yang mengatakan bahawa gula beri kesan buruk pada kesihatan, tidak bermaksud kamu perlu singkirkannya. Sebenarnya, tubuh kamu perlukan gula untuk berfungsi dengan baik.
Foto: 123rf.com

Kamu sering dengar dan baca perihal keburukan gula kepada kesihatan. Reputasinya sangat buruk dan sering dikaitkan dengan masalah penyakit kencing manis dan kegemukan. Walaupun gula sentiasa dipandang negatif oleh masyarakat, hampir semua orang di dunia ini gemar makan makanan manis. Mengapa? Di sebalik kritikan, manusia masih memilih manisan sebagai makanan. Ironi bukan? Ini bermakna gula adalah makanan yang sangat penting kepada manusia kerana ia adalah karbohidrat yang diperlukan oleh otak, hati, dan jantung untuk berfungsi dalam keadaan optima.

  • Penting Untuk Sumber Tenaga Segera

Gula adalah sumber utama tenaga segera. Pernahkah kamu tertanya mengapa kanak-kanak hiperaktif tidak digalakkan ambil makanan manis? Ini kerana kanak-kanak tersebut akan bertindak balas dengan gula lalu menjadi lebih aktif dan tidak terkawal. Apabila gula mengalir dalam darah maka ia akan berubah menjadi glukosa dan akan diserap masuk ke dalam sel-sel tubuh lalu menghasilkan tenaga. Minuman bergula seperti minuman tin atau glukosa boleh dijadikan sebagai minuman penambah tenaga segera apabila bersukan. Gula juga amat bermanfaat terhadap orang yang mempunyai masalah tekanan darah rendah. Mereka mudah pengsan kerana kekurangan glukosa dalam badan, jadi ia sangat penting untuk menjana tenaga untuk melakukan aktiviti. Oleh itu, seseorang yang menghidapi penyakit ini perlu sentiasa membawa kiub gula, gula-gula atau coklat untuk memastikan tubuh mereka tidak kekurangan gula (glukosa).

  • Membantu Otak Berfungsi Dengan Baik

Jika kamu sedang mengulangkaji pelajaran atau melakukan kerja yang memerlukan daya fikiran, kamu boleh ambil gula dalam bentuk minuman atau makanan kerana gula adalah karbohidrat yang diperlukan otak untuk bekerja di tahap optimum. Apabila otak dibekalkan dengan karbohidrat secukupnya, maka mudah untuk kamu laksanakan aktiviti dengan sempurna dan daya fikiran akan menjadi lebih kreatif. Apabila otak berfungsi dengan baik, maka pembacaan akan menjadi lebih fokus dan kamu tidak akan mudah mengantuk. Walau bagaimanapun, pengambilan gula secara melampau akan memberi kesan negatif terhadap tubuh badan dan jika diambil tanpa kawalan akan menyebabkan kencing manis dan kegemukan. Jadi, amat penting untuk mengawal jumlah gula yang kamu ambil.

  • Merawat Tekanan

Selain itu, gula juga dikatakan mampu merawat tekanan perasaan. Gula dipercayai boleh membuat kamu ‘khayal’ di mana perasaan gembira akan tercetus disebabkan kesan daripada gula itu sendiri. Sebab itulah ramai bersetuju coklat boleh memperbaiki mood kerana kandungan gula dalam coklat itu sendiri. Jika wujud coklat yang tidak mempunyai kandungan gula, mungkin kamu tidak merasai pengalaman yang sama. Gula mempengaruhi mood kamu! Walaupun gula bermanfaat terhadap tubuh, kamu harus bijak mengawal jumlah yang kamu makan atau minum. Sebaik-baiknya kamu lebihkan makan buah-buahan kerana buah mempunyai gula semula jadi, antioksidan, serat dan vitamin untuk mengekalkan kesihatan.

Kalau tak kenal nampak macam sombong, tapi bila dah kenal rupanya ‘gila-gila’ dan kaki sakat orang. A social butterfly in the concrete jungle that is Kuala Lumpur. Mudah bergaul dan sukakan cabaran serta hargai perbualan mendalam. Curious most of the time, sexy always. Put my best foot forward and is a perfect cocktail of Carrie and Samantha.

Love Expert