Ekplorasi Terbaru Nabil Mahir - Cosmopolitan - Majalah Paling Laris Di Dunia
Cosmopolitan - Majalah Paling Laris Di Dunia

Ekplorasi Terbaru Nabil Mahir

Ketika pengacara dan pelakon ini melangkah masuk ke studio, dia kelihatan sihat dan ceria walaupun baru beberapa bulan menjalani pembedahan hidung. “Alhamdulillah, semuanya baik-baik saja dan semalam hari terakhir saya check-up,” jelasnya ketika ditanya tentang perkembangan kesihatan terkini. Nabil turut berkongsi bersama Cosmo tentang perkembangan terbarunya yang kini menceburi bidang perniagaan.

Percaya Pada Visi Tersendiri

Jika sebelum ini sibuk dengan dunia hiburan, dia kini mengorak langkah dalam industri keusahawanan pula. Jelas, jejaka kacak ini sangat optimis mengambil risiko walaupun ekonomi semasa negara padat dengan persaingan. Semua orang ingin berniaga, jadi apakah yang membezakan Nabil dengan orang lain di luar sana? “Sebenarnya, ini adalah projek bisnes keluarga dalam mencari marketplace terbaru serta berhubung dengan pengguna yang lebih luas,” katanya. Dia memandang serius potensi platform e-commerce yang mampu meningkatkan mutu ekonomi di Malaysia. Jadi yang penting sekarang bukanlah apa yang ingin dijual, tetapi saluran yang digunakan dan kesannya terhadap ekonomi negara.

Kamu tak perlu salah sangka, Nabil bukan ingin berhenti daripada dunia hiburan tetapi hanya kurangkan penglibatan untuk memberi fokus yang lebih dalam bidang baru ini. “Tiada apa yang baru sebenarnya, perniagaan memang sudah ada dalam darah keluarga saya. Apa yang baru sekarang adalah minat itu sendiri, saya akui yang saya sedikit struggle untuk membina minat dalam dunia perniagaan,” ujarnya lagi. Dia bersyukur kerana mendapat sokongan yang kuat daripada keluarga terutama sekali bapanya. Namun, Nabil belum menutup pintu terhadap sebarang peluang yang menantinya tak kiralah dalam mana-mana industri sekali pun. “Jika diberi peluang untuk berlakon dan mengacara lagi, saya tetap akan teruskan jika jadual harian tidak bertembung. Apa salahnya kalau saya mahu lakukan dua perkara dalam satu masa, kan?”

Kesihatan Adalah Kunci Kejayaan

Apabila disuruh memilih antara wang dan kesihatan, Nabil lantas memilih health! Menurutnya, rezeki boleh dicari dengan kerja keras tetapi kamu tidak boleh bekerja keras sekiranya tubuh tidak mengizinkan. “Orang kaya macammana pun kalau selalu jatuh sakit, selama-lamanya akan bergantung pada ubat,” tambahnya. Disember lalu, Nabil menjalani pembedahan hidung selepas menghidap deviated septum yang menyebabkan dia sukar bernafas. Cosmo difahamkan masalah ini dihadapi Nabil sejak kecil hingga sekarang usianya mencecah 32 tahun. Menurut doktor, dia hanya memperoleh kira-kira 60 peratus oksigen setiap kali bernafas dan kesulitan tersebut memaksanya mengawal pernafasan dengan mulut. Walaupun pembedahan sudah selesai, dia masih kekok untuk bernafas melalui hidung dan harus menutup mulut kerana sudah terbiasa. “Bagi saya, penawar paling mustajab adalah doa, ibu saya mengajar agar selalu berdoa kepada Tuhan sekiranya berada dalam kesusahan. Setiap hari saya akan membaca doa penerang hati dan doa sebelum keluar rumah,” jawab Nabil apabila ditanya tentang home remedy yang diamalkannya.

Bila Jatuh Cinta…

Selepas berbual tentang keluarga, Nabil tidak gugup berkongsi kisah romantisnya bersama pelakon dan penyanyi terkenal, Ayda Jebat. Salah satu perkongsian menarik adalah ketika dia berusaha mencari hadiah istimewa buat buah hatinya, sepasang kasut G-Dragon x Nike Air Force 1 edisi terhad. Dia sanggup menunggu di depan skrin komputer selama lebih dua jam untuk menempah kasut tersebut secara atas talian. “When you’re in love, your lover is your priority. Bila dia gembira, saya lagi gembira,” tambahnya. Ya, kamu perlu lakukan apa saja untuk kekasih hati asalkan dia gembira, kan? Dalam pelbagai destinasi percutian, Nabil memilih untuk berkunjung sekali lagi ke New Zealand bersama kekasihnya. Di hujung perbualan, dia sempat memberitahu yang dia telah jatuh cinta dengan kecantikan pemandangan di sana. “Apa yang kamu lihat dalam postcard, itulah yang ada di depan mata!” Hmm, Cosmo pun teruja nak ke sana!

3 Ciri Yang Menangkap Perhatian Nabil Serta-Merta!

  1. Dia bijak memerhati tingkah laku manusia, jadi bahasa tubuh boleh memberitahu Nabil sama ada seorang itu bersopan santun atau sebaliknya.
  2. Nabil suka perhatikan mata apabila bertemu orang. Baginya, ia adalah pintu kepada hati.
  3. Bibir, dan setiap perkataan yang keluar daripadanya.

Kalau pertama kali jumpa memang seorang yang awkward tapi bila dah kenal, riang sebenarnya. Into deep conversation dan suka berjalan kaki sambil dengar lagu (Kuat berangan!). Ramai kata saya slow burner tapi in the end, semua tugasan berada di bawah kawalan. Psst... Jangan terkejut, saya pandai melukis dan menjahit!

Lifestylist