Christina Grimmie Mati Dibunuh Selepas Konsertnya - Cosmopolitan - Majalah Paling Laris Di Dunia
Cosmopolitan - Majalah Paling Laris Di Dunia
cosmomy grimmie

Christina Grimmie Mati Dibunuh Selepas Konsertnya

cosmomy grimmie

Foto: TPGNews/clickphotos

Penyanyi muda Christina Grimmie telah dibunuh dengan satu tembakan di kepala selepas mengadakan konsert bersama kumpulan Before You Exit di Plaza Live Theater, Orlando, Florida, Amerika Syarikat. Bintang yang menyinar selepas menyertai program The Voice di bawah bimbingan Adam Levine ini sedang mengadakan sesi bertemu peminat selepas persembahannya dan pembunuh, seorang lelaki kulit putih mendekatinya serta melepaskan tembakan terus ke arah Grimmie.

Abang Grimmie, Marcus yang berada di situ terus menerjah pembunuh itu dan bergelut. Bagaimanapun lelaki berusia 27 tahun yang bernama Kevin James Loibl telah membunuh diri dan mati di tempat kejadian. Grimmie dikejarkan ke hospital tetapi disahkan meninggal selepas lima jam cuba diselamatkan. Polis percaya, Loibl telah merancang pembunuhan kejam ini dengan membawa bersamanya dua pucuk pistol dan sebilah pisau memburu. Namun siasatan masih dijalankan bagi mengetahui motif sebenar dia bertindak sedemikian. Seramai 120 peminat berada di lokasi kejadian ketika Grimmie ditembak.

cosmomy grimmie

Foto: TPGNews/clickphotos

Jika kamu gemar mengikuti program The Voice, tentunya pernah menyaksikan penyanyi genit dari New Jersey ini dari pasukan Adam Levine. Gadis berusia 22 tahun ini menyertai The Voice pada tahun 2014 dan bertarung hingga ke final tetapi hanya mendapat tempat ketiga. Namun bakat besar yang dimilikinya telah membuka peluang untuk bergelar penyanyi profesional.

Sejak itu, Christina telah mula dikenali ramai dan punyai peminat di seluruh Amerika Syarikat. Sebelum ini, dia sudah punya pengikut melalui YouTube yang mencecah lebih 3 juta subscriber. Kebolehannya mendendangkan lagu-lagu pada nada tinggi dan variasi ton menjadikannya salah seorang penyanyi muda yang dijangka dapat mewarnai industri muzik pop.

Melalui akaun Twitter, ramai selebriti turut meluahkan rasa terkejut dan amat mengagumi bakat Grimmie. Antara yang meluahkan rasa kesal dan takziah termasuk mentornya Adam Levine, juri The Voice Blake Shelton, pengacara The Voice Carson Daly,  rakan penyanyi Nick Jonas dan seluruh penerbitan The Voice.

Cosmo himpun beberapa persembahannya di The Voice termasuk sesi audition dan juga klip oleh peminat yang menyaksikan persembahan terakhirnya sebelum dibunuh kejam tidak lama selepas itu.