Tiga Diva Bersatu di Istana Budaya - Cosmopolitan - Majalah Paling Laris Di Dunia
Cosmopolitan - Majalah Paling Laris Di Dunia

Tiga Diva Bersatu di Istana Budaya

Konsert Soul Sisters 2019 bakal menggegarkan pentas berprestij Panggung Sari, Istana Budaya (IB) Kuala Lumpur hujung minggu ini dengan genre muzik soul & R&B.

Tiga diva popular iaitu Misha Omar, Siti Sarah Raissudin dan Noryn Aziz kini sudah bersiap untuk beraksi serta berkongsi pentas buat julung kalinya dengan sesuatu yang berbeza sepanjang bergelar anak seni.

“Buat masa ini, persiapan konsert hampir dua jam itu sedang rancak dilaksanakan membabitkan tiga artis terlibat. Ia mendapat pengawasan rapi oleh Pengarah Muzik, Datuk Nasser Abu Kassim serta Pengarah Vokal, Datuk Syafinaz Selamat sejak dua bulan lalu. Pihak kami akan cuba menyajikan persembahan terbaik kepada semua peminat yang membeli tiket. Ini kali pertama Misha, Sarah dan Noryn bergabung di pentas IB dalam sebuah konsert khas. Saya juga terharu kerana mendapat bantuan daripada mereka yang berpengalaman terutama Pengarah Muzik, Dato Nasser Abu Kassim; Pengarah Konsert, Jennifer Thompson dan barisan pemuzik yang berpengalaman seperti Steve Thornton, Zahid, Condrado Coni, John Thomas, Azmi dan lain lain serta Pengarah Vokal, Datuk Syafinaz Selamat, Koreografer Alam Wakaka, Penggubah Muzik, Sze Wan,” kata Edd Razhe, Pengarah Urusan Edd Razhe Entertainment.

Sebanyak 33 lagu solo serta secara medley akan diperdengarkan dalam beberapa segmen dan kesemua lagu digubah semula oleh Sze Wan dan Datuk Nasser sendiri.

Antara lagu popular yang akan disampaikan ialah Lady Marmalade, Listen, Bang Bang, Mulanya Di Sini, Khayalan dan rangkaian lagu hits masing-masing seperti Sampai Bila, Semakin dan Fantasi O Realiti.

Istimewanya, konsert ini juga menampilkan satu segmen khas tribute kepada kumpulan artis wanita popular Malaysia seperti Feminin dan juga para penyanyi wanita terkenal Malaysia yang lain seperti Fairuz Hussein, Famiza, Freedom, Anita Sarawak dan Black Dog Bone.

Konsert tersebut akan diserikan dengan barisan lapan penyanyi latar yang disulami koreografi yang jarang diketengahkan dalam konsert tempatan lain. Selain itu, Konsert Soul Sisters bakal menggabungkan kepakaran teknikal, penataan cahaya, visual dan bunyi yang bertaraf antarabangsa.

Pada majlis ini juga penganjur turut menyampaikan tiket kepada pemenang terawal #soulsisterconcertchallenge yang memuat naik gambar mereka di Instagram, baru-baru ini.

Cosmo dengar Misha mengakui dia sangat teruja untuk berkongsi pentas dengan dua lagi artis pada Konsert Soul Sisters yang julung kali dianjurkan itu. Bagi Noryn pula, impiannya menjadi nyata kerana dapat beraksi dalam konsert besar sementara Sarah pula tidak sabar mendendangkan lagu kegemarannya untuk hiburan peminat.

Tiket-tiket konsert masih dijual pada harga RM755 (Meet & Greet), RM555 (Diamond), RM355 (Platinum), RM255 (Gold) dan RM155 (Silver). Ia boleh ditempah menerusi laman web www.airasiaredtix.com.

Tubuh saja genit, tapi suara saya satu dewan boleh dengar (macam tertelan speaker!). Seorang yang periang dan suka record diri sendiri memasak, sesuailah dengan column saya – Lifestylist. Lavish holiday is so me. Nampak macam manja tapi can get the job done. Saya kaki karaoke dan orang kata suara saya seperti Ning Baizura. When it comes to navigation, I am the best!

Lifestylist