Tangani 5 'Spesies' Rakan Sekerja Di Pejabat - Cosmopolitan - Majalah Paling Laris Di Dunia
Cosmopolitan - Majalah Paling Laris Di Dunia

Tangani 5 ‘Spesies’ Rakan Sekerja Di Pejabat

Jika tempat kerjamu bagai ‘hutan’, mungkin sebab ada sesetengah perangai spesis haiwan yang boleh dikaitkan dengan sifat manusia. Ketahui dan fahami selanjutnya okey.

Hmm, menarik! Sikapmu di pejabat juga ada kaitan dengan keperibadian beberapa jenis haiwan. Menurut pakar, kita bukan sekadar belajar daripada haiwan primat. Semakin ‘meliar’ keadaan di pejabat, semakin penting untuk kamu pelajari teknik berbaik dengan semua orang. Berikut kisah lima ‘spesis pekerja’ dan apa yang boleh kamu pelajari daripada mereka…

 

1. SI SEMUT

Cara kenal pasti: Kerja tanpa henti dan berusaha secara berkumpulan. ‘Geng’ pengurus memang suka golongan ini tapi pekerja sedemikian pula berasa kurang dihargai.

Cara kendali: Dia hanya perlukan motivasi, jadi hargai kerja yang dilakukan. Si semut juga orang terbaik untuk membantumu menjalankan tugas dalam tempoh yang ditetapkan.

Pelajari daripadanya: Bekerja sebagai satu kumpulan itu penting, tapi luangkan juga masa untuk bergaul – dengan mereka yang kamu tahu sepenting dirimu.

 

2. SI HARIMAU

Cara kenal pasti: Sebaik saja masuk ke bilik, semua orang akan beri perhatian. Dorongan dan azam pekerja bersikap sebegini dalam dunia perniagaan, serta keyakinan dan sikap tegas bermakna mereka mampu memberi inspirasi kepada orang lain agar menghormatinya.

Cara kendali: Dengan pengaruh kuat, mereka boleh bantu kerjayamu. Rahsianya, kamu perlu tarik perhatian mereka dan tonjolkan dirimu. Apa kata hadiri mesyuarat dengan golongan ini dan dapatkan kepercayaan mereka.

Pelajari daripadanya: Keyakinan dan kepercayaan diri boleh jadi kunci untuk peroleh rasa hormat daripada kakitangan.

 

3. SI CICAK

Cara kenal pasti: Mereka bijak berkata-kata dan pemberi pandangan pertama yang gempak! Apa saja kamu suarakan, mereka akan setuju. Tambahan, golongan ini pandai berurusan dan senang sesuaikan diri dalam pelbagai situasi.

Cara kendali: Mereka mungkin nampak tak cerewet, tapi sukar ketahui apa dalam fikirannya. Jadi elakkan persahabatan terlalu rapat kecuali kamu benar-benar percayakan mereka.

Pelajari daripadanya: Diplomasi amat penting untuk tunjukkan yang kamu mampu berurusan dengan pelbagai jenis orang.

 

4. SI BURUNG KAKAK TUA

Cara kenal pasti: Mereka menonjol kerana pertuturan dan sikapnya sewaktu tunjukkan minat dalam sesuatu perkara. Kejayaan mereka berdasarkan kemahiran berkomunikasi dan kebolehan membuat kehadiran dirinya dirasai. Mereka secara tak langsung mampu memberi motivasi kepada orang sekeliling, tapi kadangkala jika dibiarkan boleh jadi ‘over’ terutama ketika suarakan pendapat sendiri.

Cara kendali: Tunggulah sehingga dia berhenti untuk bernafas! Selepas itu, cuba wujudkan keserasian dengan mengikut rentak sembangnya yang rancak. Mereka perlu tahu kamu sukakan idea mereka, sebelum suarakan ideamu.

Pelajari daripadanya: Keghairahan dalam bekerja sememangnya alat yang sangat berkuasa. Jika kamu memiliki idea menarik, pastikan kamu sukakannya ya.

 

5. SI KODOK BERACUN

Cara kenal pasti: Nampak peramah, tapi sebenarnya sikap suka berpura-pura ini bertujuan merahsiakan diri sebenar mereka. Jangan tersikap langkah, si kodok gunakan sikap pasif-agresif untuk dapat apa mereka mahu.

Cara kendali: Modus operandi golongan sebegini ialah menjatuhkan moral pesaingnya, iaitu kamu. Oleh itu, kurangkan sebarang hubungan dengan orang sebegini. Berurusan terus dengan ketuamu untuk hadkan pengaruh mereka.

Pelajari daripadanya: Jangan contohi sikap buruk mereka ini! Tak salah bercita-cita tinggi tapi jika kamu bersikap sedemikian, tiada siapa mahu berkawan denganmu bila berada di ‘atas’ nanti.

Foto: Nick Onken

Suka mengembara, cuba resipi baru, buat cross-stitch, masuk muzium – tapi kebanyakannya sempat buat dalam fikiran saja sebab susahnya nak cari masa terluang! Lebih suka memerhati daripada bercakap (penat kan cakap banyak?) dan sangat menghargai seni. Cara jadi wanita bahagia? Jangan peduli apa kata orang. Jika tak penting, masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Jangan biar ia mengganggu emosi dan minda kamu.

Sub-Editor