Cosmopolitan - Majalah Paling Laris Di Dunia
vagina

Sihatkah ‘Miss V’ Kamu?

Cosmo bualkan dalam ‘bahasa va-jay-jay’ agar mudah kamu fahaminya. Ini perkara yang boleh dipercayai dan perkara yang dikira sebagai mengarut mengenai ‘Miss V’ kamu.

healthy vagina

 

S: Saya dengar alat sulit wanita boleh membersih sendiri, jadi adakah saya tak perlu cuci bersungguh-sungguh?

J:Benar, bahagian intim membersih dengan sendirinya dan mengeluarkan sebarang kotoran (sel lama, air dan bakteria) untuk kekalkan kesegarannya. Phew, lega! Jangan terlalu gembira, kerana kamu masih perlu mencuci kawasan lipatan luar dan belakang ke perineum untuk membantu bahagian luar kekal sihat. Kamu boleh gunakan sabun yang lembut dengan pH rendah untuk mengekalkan keseimbangannya.

 

S: Ada kalanya sewaktu hubungan intim dengan suami, alat sulit saya seperti mengeluarkan angin. Apa sebenarnya yang berlaku?

J: Keluar angin dari bahagian kemaluan boleh berlaku sewaktu dan selepas seks, ketika bersenam, malah bila kamu bangkit dari kerusi. Ia biasanya tak berbau dan disebabkan oleh dinding faraj yang mengembang akibat dirangsang (jika kamu melakukan foreplay), dan aksi keluar-masuk ketika seks yang boleh memerangkap angin. Bila dinding mengecil, ia melepaskan angin dan bunyi itulah yang kamu dengar. Ia lebih kerap berlaku selepas kamu melahirkan anak, terutamanya sewaktu menyusu, yang menyebabkan kawasan faraj mengering dan kadar estrogen menjadi rendah. Kesimpulannya, jangan terlampau tertekan dengan bunyi itu, ia normal dan tak banyak kamu boleh lakukan untuk mengelaknya.

 

S: Saya berkulit cerah tapi bahagian dalam labia saya agak perang-keunguan warnanya. Ini normalkah?

J: Alat sulit datang dalam pelbagai bentuk serta saiz, dan milikmu adalah unik padamu, which is pretty cool. Bergantung kepada bangsa kamu, bahagian labia ini boleh berubah dari merah jambu cerah ke perang gelap, malah ungu. Biasanya, warnanya berlainan daripada tona kulit kamu dan boleh berubah bila usia meningkat. Tetapi jika warnanya mula berubah dan kamu mengalami keputihan, kesakitan atau gatal yang pelik, buat temu janji dengan doktor supaya kamu boleh bincangkan simptom tersebut, atau rujuk terus kepada pakar sakit puan.

 

S: Sewaktu ujian pap smear, adakah doktor boleh tahu bila kali terakhir saya berhubungan intim?

J: Jangan bimbang, doktor tak boleh tentukan tarikh dan waktu terakhir kamu berasmara, tetapi doktor boleh mengesan air mani dalam alat sulit kamu. Sperma boleh hidup selama lima hari (sesetengahnya sehingga tujuh hari) dalam saluran peranakan. Sebaiknya, elakkan bersetubuh (kecuali kamu gunakan kondom) 48 jam sebelum lakukan pap smear kerana air mani boleh mengganggu keputusan ujian.

 

S: Benarkah diet vegetarian boleh memberi kesan kepada haid?

J: Apa yang kamu makan akan memberi kesan pada kitaran haidmu, tak kiralah sama ada kamu vegetarian ataupun tidak. Lebih spesifik, kekurangan protein akan mempengaruhi kekerapan haid malah boleh juga menghentikannya, dan ini tak bagus untuk kamu. Sesiapa saja boleh mengalami kekurangan nutrisi, namun diet vegetarian biasanya rendah zat besi dan kamu mungkin tak cukup menggantikan zat besi yang hilang sewaktu haid, lantas menyebabkan anemia. Kamu boleh tambah pengambilan protein dengan mengambil telur, kekacang dan bijian, keju, quinoa, sayur hijau untuk zat besi, dan daging jika kamu mampu. Jika terasa kamu kurang makan protein, kamu akan mula rasa penat, lemah, dan rambut serta kuku menjadi rapuh. Jadi penting untuk kamu berjumpa doktor bagi dapatkan nasihat dan lakukan ujian darah.

 

Foto: 123rf.com

 

Suka mengembara, cuba resipi baru, buat cross-stitch, masuk muzium – tapi kebanyakannya sempat buat dalam fikiran saja sebab susahnya nak cari masa terluang! Lebih suka memerhati daripada bercakap (penat kan cakap banyak?) dan sangat menghargai seni. Cara jadi wanita bahagia? Jangan peduli apa kata orang. Jika tak penting, masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Jangan biar ia mengganggu emosi dan minda kamu.

Sub-Editor