Cosmopolitan - Majalah Paling Laris Di Dunia

Selamatkah Makanan Sudah Tarikh Luput?

Makan makanan yang sudah tarikh luput? Ia risiko yang kamu tak patut ambil walaupun dalam poket kamu hanya tinggal seringgit.

34627052_m

 

Fakta: Semua produk makanan yang mempunyai tempoh luput kurang dua tahun kena diletakkan tarikh tamat tempoh pada bungkusannya. Tetapi apakah bezanya ‘baik sebelum’ dengan ‘gunakan sebelum’? Dan apa akan terjadi jika kamu termakan produk yang sudah terlepas tarikh luput? Boleh bawa mautkah? Okey, di sini ada panduan untuk kamu tahu sebelum masukkan kerepek berusia setahun yang kamu beli di kedai runcit itu ke dalam mulut!

 

Baik Sebelum vs Gunakan Sebelum
Rupa-rupanya ada perbezaan! Dalam ayat mudah, ‘baik sebelum’ ada kaitan dengan kualiti makanan, sementara ‘gunakan sebelum’ berkaitan dengan keselamatan produk. Makanan dalam tin, makanan beku dan coklat menggunakan ‘baik sebelum’ dan bukannya ‘guna sebelum’ – bermakna ia secara umumnya selamat dimakan selepas tarikh tertera – selagi ia tak berbau pelik atau nampak semacam (gunakan judgement sendiri juga ya). Ia mungkin tak lagi rasa enak, tapi kamu boleh buat keputusan untuk memakannya atau tidak. ‘Guna sebelum’ pula berkaitan dengan keselamatan makanan dan biasanya dilihat pada daging dan produk tenusu. Makanan sebegini memang perlu dibuang pada tarikh itu kerana ia berbahaya untuk dimakan.

 

Jika Sudah Luput:

DAGING
Tak perlu berdolak-dalih tentangnya. Ia mempunyai bakteria berbahaya seperti bacillus, staphylococcus, salmonella, clostridium dan escherichia coli pada tahap yang tinggi selepas tarikh gunakan sebelum itu. Akibatnya, kamu boleh kena keracunan makan. Kecualilah kamu tak kisah nak muntah, sakit kepala atau ‘bertapa’ dalam bilik air sehingga lima hari selepas memakannya, silalah jangan makan. Organisme pencetus keracunan makanan ini takkan mengubah bau makanan, jadi ujian bau takkan berkesan di sini ya.

PRODUK TENUSU
Susu biasanya masih okey selepas beberapa hari tempoh luput, selagi kamu terus masukkan ke dalam peti sejuk selepas membelinya. Kalau tak pasti, lakukan ujian hidu dan jika ia berbau okey (tak masam), kamu masih boleh minum atau gunakannya. Samalah juga dengan yogurt, tetapi jika ia dah berkeladak atau ada selapis cecair di atasnya, buang saja. Untuk keju pula, jika ia jenis padat (seperti tasty atau cheddar), potong buang kawasan berkulapuk di bahagian luar dan teruskan mengguna bahagian yang tak terkesan. Jika ia jenis lembut (brie atau camembert), lebih baik buangkan saja kerana ia mungkin mengandungi bakteria.

TELUR
Jika ia berada dalam peti ais, kamu boleh gunakannya selepas tarikh ‘baik sebelum’ terutama jika kamu nak gunakannya dalam kek atau rebus untuk dimakan dengan salad. Tapi elak menggoreng, mendadar dan rebus setengah masak ya.

MAKANAN DALAM TIN
Makanan sebegini biasanya tidak ada bakteria, jadi kamu boleh ‘langgar’ sikit tarikh luput. Selagi tinnya masih elok (tak berkarat, tak bocor, tiada gas terperangkap di dalamnya) dan disimpan dalam suhu bilik di ruang yang gelap, kamu boleh simpannya berbulan selepas tarikh ‘baik sebelum’. Namun, rasa dan teksturnya mungkin tak berapa sedap.

 

Bekukan Lagi dan Lagi
Kebanyakan roti, mentega dan keju boleh dibekukan selama tiga bulan, manakala daging segar boleh bertahan sehingga enam bulan dalam bahagian beku. Jika kamu bekukan lebihan lauk, ia juga boleh bertahan sehingga tiga bulan. Tapi jangan bekukan makanan yang telah mencair ya.

 

Foto: 123rf.com

 

Suka mengembara, cuba resipi baru, buat cross-stitch, masuk muzium – tapi kebanyakannya sempat buat dalam fikiran saja sebab susahnya nak cari masa terluang! Lebih suka memerhati daripada bercakap (penat kan cakap banyak?) dan sangat menghargai seni. Cara jadi wanita bahagia? Jangan peduli apa kata orang. Jika tak penting, masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Jangan biar ia mengganggu emosi dan minda kamu.

Sub-Editor