Kamu Terseksa Setiap Kali Haid?
Cosmopolitan - Majalah Paling Laris Di Dunia
Kamu Terseksa Setiap Kali Haid?

Kamu Terseksa Setiap Kali Haid? Mungkin Ini Puncanya

Jika haid kamu sangat ‘kejam’, buatkan kamu berguling kesakitan di atas katil setiap bulan, kamu mungkin menghidapi endometriosis – atau petanda kepada penyakit lain.
Kamu terseksa dan merana setiap kali haid?
Foto: 123rf.com

Kekejangan adalah perkara yang paling teruk sekali apabila kamu datang bulan. Kita semua pernah melaluinya dan amat membencinya! Jika kamu ambil ubat tahan sakit tapi masih lagi menderita, kemungkinan terdapat satu penyakit yang menjadi dalang di sebalik kesakitan tersebut.

ENDOMETRIOSIS

Dianggarkan satu daripada sepuluh wanita di seluruh dunia menghidapi endometriosis – penebalan sel lapisan dalam rahim di luar rahim. Tapi kebanyakannya tidak pernah didiagnosis. Ia boleh mengakibatkan kekejangan dan membawa kepada kemandulan, jadi jangan abaikan petanda-petanda tersebut.

Lebih daripada 60 peratus wanita yang menghidapi penyakit ini juga didiagnosis dengan irritable bowel syndrome (IBS). Ini bermaksud jika kamu mempunyai cirit-birit yang kronik dan sembelit, serta didiagnosis dengan IBS, lebih baik kamu jalani pemeriksaan endometriosis. Rawatan IBS kamu tidak akan berjaya jika masalah ini juga berpunca daripada endometriosis.

Petanda Bahaya: Sakit ketika hubungan intim, pendarahan banyak atau tidak teratur, sakit belakang dan pelvis yang berterusan atau cirit-birit ketika haid.

Tanganinya: Sebaik saja kamu didiagnosis oleh doktor, kamu akan diberi ubat pil seperti NuvaRing, Implanon atau Mirena IUD. Ia menghalang ovulasi dan mengurangkan pengeluaran prostaglandin (hormon kimia yang menyebabkan kekejangan teruk). Jika kamu menggunakan NuvaRing, kamu disaran menggunakannya secara berterusan. Jika ia masih tidak dapat membantu dan kes kamu semakin teruk, minta untuk dirujuk kepada pakar bedah yang boleh menggunakan kaedah laser untuk membuang tisu endometrial tersebut.

ADENOMYOSIS

Ia sama seperti endometriosis, kecuali tisu endometrial diimplan dalam otot rahim dan boleh menyebabkan kesakitan.

Petanda Bahaya: Kekejangan yang teramat sakit, perut kembung dan sakit ketika berhubungan intim – di mana kesakitan itu berterusan satu hingga dua hari selepas bersetubuh.

Tanganinya: The Pill ataupun Mirena IUD adalah rawatan terbaik selepas kamu didiagnosis tapi terdapat beberapa pilihan lain seperti pembedahan adenomyomectomy (pembuangan adenomyosis), endometrial ablation (pembuangan lapisan rahim) dan buat segelintir kes (atau mereka yang tidak mahukan zuriat selepas itu), pembedahan histerektomi.

POLIP ATAU FIBROID

Perbezaan antara polip dan fibroid adalah fibroid terdiri daripada tisu otot dan polip daripada tisu endometrial. Namun kedua-duanya menyebabkan kesakitan dalam rahim.

Tiga daripada empat wanita menghidapi fibroid (tumor benigna yang membesar dalam rahim) tapi kebanyakan tidak mengalami apa-apa simptom. Fibroid besar boleh mengubah bentuk asal rahim dan menekan struktur lain yang menyebabkan pendarahan dan mengurangkan kesuburan.

Polip pula bukan perkara biasa tapi ia jauh lebih serius dan berbahaya. Ia boleh menjadi kanser, jadi jangan abaikan simptomnya.

Petanda Bahaya: Darah haid yang banyak dan dalam tempoh yang lama, pendarahan sedikit atau tompokan selepas kitaran haid, haid tidak teratur dan haid dengan sakit berpanjangan.

Tanganinya: Selepas didiagnosis, polip atau fibroid boleh dibuang dengan pembedahan hysteroscopy – prosedur sama yang digunakan untuk diagnosis masalah rahim. Fibroid juga boleh dibuang dengan pembedahan myomectomy atau fibroidectomy.

RADANG PELVIS

Biasanya terjadi disebabkan sexually transmitted infections (STI) yang tidak dirawat. Ia akan berubah menjadi satu jangkitan kerap pada bahagian intim kamu. Jika dikesan awal, radang pelvis boleh diubati dengan antibiotik tapi jika dibiarkan tidak dirawat, ia boleh menyebabkan keradangan, parut luka dan menjejaskan kesuburan. Amalkan hubungan intim yang selamat dan lakukan pemeriksaan STI secara kerap.

Petanda Bahaya: Sakit pada bawah abdomen dan pelvis, keputihan yang banyak berserta bau tidak menyenangkan, pendarahan haid yang tidak teratur, sakit ketika hubungan intim dan sakit atau sukar membuang air kecil.

Tanganinya: Terdapat antibiotik untuk kamu ambil dan doktor akan menyarankan kamu berhenti melakukan hubungan seks buat satu tempoh masa. Dalam kes lebih serius, pembedahan mungkin akan dilakukan untuk membaiki atau membuang organ-organ pembiakan. Jika dibiarkan tidak dirawat, ia boleh menyebabkan komplikasi yang membahayakan nyawa jika jangkitan itu merebak.

NASIB MALANG!

Untuk segelintir wanita, mereka hanya mengalami kesakitan yang teruk semasa haid, bukan disebabkan penyakit. Terdapat pelbagai variasi normal berkaitan haid tapi ia masih boleh ditangani. Ia tidak sepatutnya memberi kesan drastik kepada kehidupan kamu.

#Realtalk Ladies! Jika kamu mempunyai kesakitan ketika haid dan tidak pasti sama ada ia normal atau tidak, berjumpalah doktor dengan segera. Haid tidak sepatutnya membantutkan diri dan rutin harian kamu.

Kalau tak kenal nampak macam sombong, tapi bila dah kenal rupanya ‘gila-gila’ dan kaki sakat orang. A social butterfly in the concrete jungle that is Kuala Lumpur. Mudah bergaul dan sukakan cabaran serta hargai perbualan mendalam. Curious most of the time, sexy always. Put my best foot forward and is a perfect cocktail of Carrie and Samantha.

Love Expert