Cosmopolitan - Majalah Paling Laris Di Dunia

Jejaka Dari Kelantan Ini Dedah Sebab Dia Buat Pembedahan Wajah

Kisah lelaki ini vilar di laman sosial apabila dikatakan menghabiskan wang sejumlah lebih RM200,000 semata-mata mahu mengubah wajahnya yang kini kelihatan seperti watak anime Jepun. 

Amirul Rizwan Musa, 21, beri penjelasan mengapa dia melakukan pembedahan itu.

Boleh ceritakan serba sedikit tentang diri kamu?

MIYYO: Terima kasih kerana sudi menyiarkan kisah kehidupan saya ini walaupun kisah saya ini menerima kecaman yang hebat. Cukuplah saya dikenali dengan Miyyo RizOne. Saya berumur 21 tahun, berasal dari Kelantan. Saya anak bongsu dari lapan adik-beradik. Hobi saya mendengar muzik dan membaca majalah. Saya adalah seorang pengasas kepada perniagaan produk kosmetik, dan saya juga merupakan seorang model dan jurusolek artis.

Kamu mula terkenal dek penyebaran gambar-gambar kamu di laman-laman sosial. Pernahkah terfikir gambar-gambar tersebut menjadikan kamu popular sekelip mata? Apa perasaan kamu sekarang? Bangga, risau atau apa saja?

MIYYO: Sememangnya saya terkejut dengan penularan gambar-gambar saya di media sosial dan blog, sampai ke luar negara. Saya sebenarnya sudah biasa berhadapan dengan situasi sebegini tetapi tidaklah ‘seteruk’ ini. Sejujurnya, sekarang saya risau. Bayangkan, saya menerima kecaman dan ugutan yang tidak henti dari netizen khususnya. Namun, saya ambil ini sebagai perkara yang positif, dan yang negatif saya tolak ke tepi. Ini adalah antara perkara yang boleh menyebabkan saya murung. Saya tahu saya telah melakukan sesuatu yang salah namun saya tidak pernah menyusahkan sesiapa.

Khabarnya kamu melakukan pembedahan plastik semata untuk kelihatan seperti watak anime. Jadi bolehkah kongsikan sebab kamu tekad untuk membuat pembedahan ini? Atas faktor apa?

MIYYO: Saya lakukan semua ini untuk kepuasan hati saya. Maklumlah, rupa dan wajah saya teruk dan saya amat suka melihat benda-benda yang cantik. Namun, saya tidak pernah menganggap diri saya ‘anime’ seperti mana yang ditularkan oleh orang ramai. Bukan itu sebab utamanya. Saya sekadar ingin tampak berbeza daripada wajah sebelum, itu saja.

Ceritakan serba sedikit pengalaman pahit manis yang tidak boleh dilupakan sebelum dan selepas melakukan pembedahan.

MIYYO: Saya sering kali dipandang sepi oleh orang-orang di sekeliling saya sebelum ini. Saya juga tidak pernah dipandang serius. Ejekan, kutukan dan sebagainya itu sudah biasa. Namun tidak pula saya menyangka saya tetap juga dikutuk walaupun selepas melakukan pembedahan, namun hidup saya berubah selepas mula terkenal. Dan kini saya bebas untuk lakukan apa saja.

Bagaimana pula dengan keluarga dan rakan-rakan? Adakah mereka menyokong keputusan kamu untuk melakukan pembedahan?

MIYYO: Keluarga saya okey dan mereka menghormati keputusan saya seadanya tapi saya tahu jauh di sudut hati mereka, mereka risau. Namun akhirnya mereka merelakan dan menyokong apa yang saya lakukan ini. Kawan-kawan pun ada juga yang menentang malah mengecam sekerasnya, namun saya enggan fikirkan sangat. Saya buat semua ini hanya untuk memenuhi kepuasan saya dan saya tidak menyusahkan sesiapa.

Khabarnya kamu mengubah wajah semata-mata untuk melariskan perniagaan kamu, Mr Beautyline Sdn. Bhd. Komen?

MIYYO: Tidak sama sekali. Seperti yang saya cakap, saya melakukan semua ini untuk kepuasan diri saya. Tidak pernah saya fikir untuk melariskan perniagaan saya semata-mata. Namun, jika tindakan saya ini bagus untuk perniagaan saya, saya bersyukur dan menganggap ia bonus untuk perniagaan.

Kejayaan tidak datang dengan mudah dan adakala banyak pengorbanan dan risiko perlu diambil. Adakah kamu bersetuju dengan kenyataan di atas dan kenapa?

MIYYO: Ya, saya setuju! Banyak kisah jatuh bangun saya dalam hidup dan perniagaan tapi saya harus ambil itu sebagai ujian dan cabaran untuk berjaya suatu hari nanti . Nak senang itu susah malah perlukan banyak kesabaran dan usaha. Saya percaya bahawa rezeki itu datangnya dari Allah, sudah diatur oleh-Nya. Namun, sekiranya apa yang saya buat ini menyebabkan kegagalan, saya akan ambil ia sebagai iktibar untuk terus maju di kemudian hari.

Di mana kamu melihat diri kamu dalam tempoh 10 tahun akan datang?

MIYYO: Saya melihat diri saya 10 tahun akan datang adalah seorang pengusaha produk berjaya dan itu adalah cita-cita saya . Niat saya ingin membantu keluarga dan masyarakat.

Adakah kamu pernah merasa menyesal dengan tindakan yang diambil? Dan apa pula nasihat yang ingin kamu berikan kepada mereka di luar sana?

MIYYO: Saya tidak pernah menyesal dengan apa yang saya lakukan ini. Nasihat saya, kalau boleh fikir panjang-panjang sebelum nekad untuk mengubah wajah. Ia memerlukan pengorbanan yang besar. Sejujurnya, perkara yang saya lakukan ini tidak baik sebenarnya dan elok dielakkan. Buat anda di luar sana, mohon hentikan kecaman terhadap saya dan jangan cepat menghukum. Buat anda yang menyokong, saya ucapkan jutaan terima kasih atas kata-kata positif, doa dan ucapan kalian. Saya juga mendoakan yang baik-baik saja buat anda semua. Ambil apa yang elok daripada saya, yang buruk elakkan. Sejujurnya saya sekeras-kerasnya tidak menggalakkan sesiapa saja untuk mengikut tindakan saya ini. Terima kasih.

Sumber: Glam Lelaki

Fun, wacky and digital junkie. Kalau kamu suka melancong, I am the best travel buddy you will ever meet. Saya menulis semua topik tetapi hiburan dan muzik ialah forte saya. Tiga benda yang buatkan saya gembira – laut, katil yang empuk dan mashed potato.

Randomness