Cosmopolitan - Majalah Paling Laris Di Dunia
kulit seksi

Diet Khas Untuk Kulit Seksi

Bufet berlebihan, sajian pencuci mulut enak – memang sukar nak kekalkan diet sihat di bulan puasa begini. Selain tambah lemak, tabiat makan begini jika berterusan boleh mencelakan kulit kamu. Menurut doktor, 80 peratus faktor kulit sihat adalah daripada pemakanan kamu. Periksa keperluan kulit dan pelajari cara bijak untuk dapatkan kulit seksi.

kulit seksi

 

1. KAMU NAK: KULIT LICIN TANPA GARIS HALUS

Selain faktor peningkatan usia, sinaran UV dan pencemaran adalah penyumbang terbesar garis halus dan kedutan. Pendedahan terhadap asap, sinaran matahari dan asap rokok sekunder akan membebaskan radikal yang menyerang dan menceraikan kolagen kulit, sejenis ejen yang berfungsi memberi ketegangan. Dengan mengambil vitamin berikut setiap hari, ia mampu mengurangkan kedutan dalam tempoh sebulan lebih dan menghalang terjadinya kedutan baru.

MAKAN LEBIH: Vitamin C

Makanan yang kaya dengan sumber ini seperti beri, kiwi dan buah-buhan sitrus (ambil setengah cawan sehari) menghalang radikal bebas dan membantu penghasilan kolagen. Menurut kajian The American of Clinical Nutrition, wanita yang mengambil lebih Vitamin C terbukti mempunyai kurang kedutan.

DAN LEBIH: Vitamin E

Antioksidan ini berkesan menghalang kehilangan kolagen di samping memperbaiki kemampuan melembapkan kulit secara semula jadi.  Menurut laporan kajian British Journal of Dermatology, faktor ini penting kerana kulit yang lembap akan kurang berkedut dalam jangka waktu panjang. Vitamin E boleh didapati daripada telur (ambil dua biji ketika sarapan), almond dan pecan (ambil segenggam ketika makan tengah hari).

 

2. KAMU NAK: KULIT BEBAS CELA

Bila sel  kulit mati dan minyak ‘berkerak’ di pori, ia jadi radang dan bertukar kepada jerawat. Mengambil makanan penghalang inflamasi akan membersihkan kulit dalam tempoh enam ke lapan minggu.

MAKAN LEBIH: Vitamin A

Vitamin A membantu mengawal dan meningkatkan cara kulit meghapuskan sel kulit mati apabila dimakan dan digunakan secara semasa. Sumber makanan diperkaya Vitamin A termasuklah sayuran hijau (sasarkan secawan kubis, bayam atau brokoli setiap hari) dan hasil tanaman jingga/orange produce (setengah cawan kentang manis, lobak merah atau tembikai setiap hari).

DAN LEBIH: Zink

Mineral ini ejen pembasmi radang yang hebat dan sangat cekap mengawal penghasilan minyak. Kandungannya paling tinggi di dalam tiram, daging panggang dan ketam (85 gram diambil ketika makan malam adalah mencukupi), bijirin gandum (tambah dua sudu besar ke dalam yogurt atau makanan bijirin) dan biji labu (jadikan segenggam snek). Apabila disapukan di kulit, ia turut menghalang wajah daripada cepat berminyak.

 

3. KAMU NAK: KULIT BERCAHAYA SEMULA JADI

Suhu dan udara dalaman boleh menyedut lembapan kulit dan ia buat kulit nampak kering dan kusam. Tambahkan menu ringkas ini di dalam diet harian kamu dan ia hasilkan tona kulit lebih bercahaya dalam tempoh dua ke tiga minggu.

MAKAN LEBIH: Omega-3

Asid lemak terkandung di dalam sumber makanan seperti salmon (ambil 113 gram setiap hari) dan biji flax (taburkan satu sudu besar di atas salad) melembapkan sel kulit dan memberikan cahaya semula jadi dari dalam. Apabila ia disapu di atas permukaan kulit, ia melembapkan bahagian yang kering dan menghasilkan efek bercahaya pada kulitmu.

DAN LEBIH: Niasin

‘Salin’ tona kulit pucat kepada efek kemerahan dengan pengambilan Vitamin B, ejen yang membuka saluran darah secara semula jadi. Apabila niasin dimakan atau disapu pada kulit, ia meningkatkan peredaran darah dan oksigen yang menghasilkan sedikit tona kemerahan. Dapatkan sumbernya daripada tuna dan ayam (sasarkan 113 gram setiap hari), sayuran seperti asparagus, cendawan dan tomato (secawan mencukupi) atau kacang tanah (kunyah suku cawan).

 

Foto: 123rf.com

Suka mengembara, cuba resipi baru, buat cross-stitch, masuk muzium – tapi kebanyakannya sempat buat dalam fikiran saja sebab susahnya nak cari masa terluang! Lebih suka memerhati daripada bercakap (penat kan cakap banyak?) dan sangat menghargai seni. Cara jadi wanita bahagia? Jangan peduli apa kata orang. Jika tak penting, masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Jangan biar ia mengganggu emosi dan minda kamu.

Sub-Editor