Cosmopolitan - Majalah Paling Laris Di Dunia

Cosmo Guide: Bersedia Untuk Jumpa Ibu Bapanya?

Berdebar-debar bagai jantung nak terkeluar rasanya. Kamu hanya mampu berdoa agar mereka menerima kamu. Tetapi dengan 10 panduan ini, doa kamu itu mungkin dimakbulkan.

44585399_l

Zaman sudah berubah. Ibu bapa dulu lebih tegas bila perlu bersemuka dengan bakal menantu berbanding sekarang yang sebilangan besarnya lebih berfikiran terbuka. Namun, tak bermakna kamu pun kena chill dan santai tak kena tempat bila dijemput si dia untuk bertemu dengan ibu bapanya buat kali pertama. Kamu, perlu ingat, mereka bukan level kawan-kawan untuk dilayan dengan kurang rasa hormat.

Sebagai permulaan, anggap pertemuan ini sama penting seperti kamu kali pertama mahu memenangi hati si dia atau masuk temuduga kerja. Tak kira di mana lokasi pertemuan, kamu perlu persiapkan diri dengan panduan Cosmo yang boleh membantu. Bila diri kamu bersedia, kuranglah rasa menggelabah untuk berjumpa bakal mentua nanti.

Bawalah Buah Tangan
Ini sebenarnya tak perlu diajar pun kerana ia ada dalam buku etika 101. Walaupun mereka tak mengharapkan apa-apa daripada kamu, jangan sesekali muncul dengan tangan kosong ya. Jika kamu pergi untuk makan malam, bawalah sejambak bunga segar untuk ibunya (periksa dengan si dia jika ibunya ada alahan pada jenis bunga tertentu, just in case). Bonus jika kamu pandai buat kuih atau kek, bolehlah buat satu yang istimewa untuk mereka. Dan pastikan kamu tahu jika mereka tak suka kek yang terlalu manis, hmm, bertambah-tambahlah mata bonus kamu nanti!

Bergaya Biar Kena Dengan Tempat
Pastikan kamu tahu sama ada pertemuan itu hanya untuk kamu dan keluarganya, atau ia kebetulan jatuh pada hari kenduri doa selamat atau majlis yang mereka anjurkan. Kod pakaian paling selamat tentulah yang sopan dan konservatif, simpan dulu baju tak berlengan penuh labuci atau kombo skinny jeans dengan kemeja-T kamu tu. Fikirkan dari semua segi; bila duduk adakah skirt dengan belah itu akan nampak terlalu terbuka, atau adakah baju jarang yang menampakkan tali bra kamu akan buat ibu bapanya angkat kening?

Buat Ibunya ‘Kembang Jiwa’
Kamu kini berada dalam ‘jajahan’ mereka, jadi cuba bermulut manis dan puji kediaman mereka yang nampak selesa. Katakan kamu suka kombinasi warna rumah mereka, cara susunan bingkai gambar yang kreatif dan moden, atau masakan ibunya yang buat kamu teringatkan masakan nenek. Ia akan menunjukkan yang kamu peka dan hargai usahanya. Sedikit sebanyak, ibunya yang mungkin juga tertekan untuk berjumpa kamu akan rasa lebih lega dan selesa denganmu.
Berbaik Dengan Adik−Beradiknya
Anggap mereka ini sebagai penyokong ‘kempen’ memikat hati mentua, terutama jika kamu berjaya ‘ngam’ dengan mereka. Tanyalah tentang sesuatu yang diminati seperti kelas ukulele adik perempuannya atau bisnes baru abangnya. Bila kamu dapat ‘lampu hijau’ daripada mereka, maka saham kamu tentulah naik depan ibu bapa si dia.
Ikhlas Terhadap Anak Terunanya
Sudah tentu kamu jatuh cinta dengan si dia sebab ada ciri menarik dalam dirinya. Jadi puji kebaikan anak mereka dengan halus dan bijak seperti “Saya percaya tentu aunty dan uncle yang telah ajarnya jadi pemurah sebegitu.” Nyatakan betapa kamu pun tumpang bangga bila si dia baru-baru ini dapat anugerah di pejabat kerana menyertai aktiviti kebajikan. Pasti ibu bapanya juga rasa senang hati kerana kamu pun ‘ahli kelab peminat’ si dia.

Tak Perlu PDA Sangat
Kalau public display of affection di khalayak ramai pun akan buat orang meluat, apatah lagi jika kamu cuba lakukannya depan ibu bapa si dia. Paling jauh kamu boleh pergi pun adalah duduk di sebelahnya dengan sedikit jarak. Selagi kalian belum sah suami isteri, bersabarlah untuk tunjukkan kasih sayang secara terbuka ya, terutamanya depan bakal mentua.

Ringankan Tulang
Ya kamu tetamu, tetapi kamu juga calon menantu. Markah bonus jika kamu sudi tawarkan diri untuk tolong kemas meja selepas makan malam. Ia menunjukkan yang kamu amat hargai penat lelah mereka untuk berjumpa dengan kamu selain sedia menyertai dinamik keluarga berkenaan, dan bukannya nak ‘larikan’ anak teruna mereka dari situ.

Kamu Kena Jadi Amat Peka
Untuk permulaan, jangan terlalu ghairah nak cerita segala-galanya tentang dirimu, nanti kamu akan kelihatan terlalu mencuba (atau ayat pedas, terhegeh-hegeh). Jika bapanya jenis pendiam dan tak banyak cakap, tak perlulah memaksanya menjawab soalan seperti kamu pegawai CIA. Jika ibunya jenis suka bercakap, jangan pula kamu suka menyampuk dan nak berlawan cerita pula. Kenalah pandai melenggok dirimu, lambat laun perlu juga cuba menyesuaikan diri.

Pilih Topik Perbualan
Untuk lebih selamat, tentukan apa yang kamu belum sedia dedahkan seperti punca perceraian ibu bapamu atau kenapa kamu tidak mahu terus mengandung selepas berkahwin. Elakkan topik ‘periuk api’ sedemikian dengan memilih informasi yang lebih selamat seperti latar belakang pendidikan atau hobi dan jangan lupa tanya tentang diri mereka juga. Jika kamu dah habis idea, tanya tentang memori keluarga. Cuba, “Amran pernah sebut tentang percutian keluarga ke Istanbul. Saya tak pernah sampai sana, apa yang menarik di sana ya?” Kamu akan kelihatan berminat tentang keluarganya dan mahu mendengar dengan lebih lanjut.

Be A Good Girl
Kalau boleh, kamu nak mereka tahu yang kamu jenis ketawa kuat atau sebenarnya tak suka berbaju kurung, tetapi semua itu boleh mereka ketahui dalam jangka masa tertentu, tak semestinya pada hari pertama pertemuan. Mungkin kamu boleh beri sedikit hint tentang dirimu yang sebenar tanpa menampakkan kelemahanmu seperti, “Saya dah lama teringin nak buat kari sesedap yang aunty masak ni, mungkin satu hari nanti aunty boleh ajarkan?” Pasti ibunya akan rasa berbesar hati nak beri tunjuk ajar. #untunglah.

Foto: Merlin

 

A woman who always smiles. And can be very scary if you drive her mad. Selalu percaya kepada prinsip, Execution Is King. Sedang obses ‘bikin’ badan sebab tiada yang lebih menggembirakan setiap wanita bila mereka tampil sihat dan ONS. Lepas dah cantik, inilah masanya ‘tayang’ dengan menggembara. Mahu terbang sebanyak negara yang mungkin kerana… life is an adventure! I agree to live life like there’s no tomorrow.

Editor