Cosmopolitan - Majalah Paling Laris Di Dunia
bride, beauty hacks

Beauty Hacks Buat Pengantin

Kamu mungkin sudah lakukan segala persiapan dengan teliti, tetapi masih ada kesilapan yang boleh terjadi. Cosmo tampilkan beauty hacks untuk kes kecemasan pada saat-saat akhir.

bride, beauty hacks

 

1. Jurusolek terlebih ‘feel’

Seeloknya kamu ‘cuba-try-test-tengok’ hasil kerja jurusolek yang ditempah untuk elak salah faham begini. Terutama sekali jika kamu jenis cerewet atau tak suka bersolek tebal. Tapi jika pada hari istimewa itu kamu rasa solekanmu terlalu tebal, kamu tak sendirian. Ini perkara biasa, atau perasaan biasa yang dialami oleh kebanyakan pengantin. Kamu perlu ingat, solekan pengantin haruslah tebal sedikit daripada biasa untuk foto profesional. Ambillah beberapa selfie untuk lihat apa rupa solekanmu di dalam kamera. Jika masih tak puas hati, minta jurusolek kurangkan sedikit ketebalan mekap. “Guna facial mist, sembur pada wajah. Kemudian dengan berus yang bersih, adun secukupnya. Jika mahu efek matte, layangkan semula bedak debu, tetapi jika mahu kulit glowing, biarkan saja,” kata Emmy Agung, jurusolek selebriti. Cadang Emmy, jika boleh pesan awal-awal kamu tak mahu solekan tebal kerana lebih mudah untuk menambah daripada cuba menanggalkan solekan yang dah siap.

 

2. Tiba-tiba keluar jerawat

Jangan picit! Biar jurusolek samarkannya dengan solekan. Kalau kamu picit ia akan kemerahan dan mungkin tinggal bekas yang lebih sukar nak disorok. Yakinlah dengan penyamar, bedak asas dan kepakaran jurusolek okey.

 

3. Mata sembap

Tak kiralah kerana tangisan gembira atau sebab kamu kecut perut nak kahwin yang membuatkan kamu nampak seperti buntal di pagi hari persandingan. Banyak produk antisembap di luar sana; yang jenis bebuli besi, krim atau pupur. Kamu juga boleh rendam kepingan kapas dalam air sejuk dan lekap pada mata. Hirisan timun atau sudu sejuk pun boleh juga. Pastikan tubuh kamu kekal hidrat untuk elak sembap.

 

4. Mata merah seperti Drakula

Jelas sangat kamu tak boleh tidur. Jangan risau. Selalunya jurusolek yang mahir pasti akan bawa ubat titis mata yang boleh hilangkan kemerahan. Pencil eyeliner rona nude atau kuning cair pada garis bawah mata juga membantu untuk mencerahkan  mata.

 

5. Kulit kamu terbakar

Kenapalah main panas nak dekat-dekat hari istimewa? Nasib baik ada banyak produk pembetulan tona kulit seperti primer dan corrector. Sembur kulit dengan facial mist dahulu dan pastikan kulit kamu terhidrat. Biasanya jurusolek akan guna primer rona hijau untuk neutralkan kemerahan sebelum sapukan bedak asas.

 

6. Wajah naik ruam

Kalau ruam muncul sebelum hari yang penting itu, cepat-cepatlah berjumpa doktor tetapi jika ia keluar pada hari itu juga, kamu mungkin boleh telan sebiji antihistamine atau ubat alahan yang kamu ada. Cuba juga rendam atau basuh dengan air sejuk, boleh juga cuba lekapkan benda sejuk pada ruam atau guna krim yang boleh bantu surutkannya.

 

7. Kamu tak suka hasil dandanan

Kamu pasti dah boleh agak jika suka atau tidak gaya rambut yang sedang ‘dicipta’. Beritahu jurudandan cepat-cepat jika tak suka dengan hasilnya. Lebih baik beritahu awal sebelum rambut disembur dengan hairspray setengah tin. Bila dah sembur, agak payah nak ubah. Jika kamu rasa gulungan rambutmu terlalu kecil, leraikan sedikit dengan berus rambut untuk jadikannya alunan lembut. Jika rambutmu leper, guna sepit untuk tolak rambut ke depan. Kalau tak kena juga, veil kan ada?

 

Foto: 123rf.com

 

Suka mengembara, cuba resipi baru, buat cross-stitch, masuk muzium – tapi kebanyakannya sempat buat dalam fikiran saja sebab susahnya nak cari masa terluang! Lebih suka memerhati daripada bercakap (penat kan cakap banyak?) dan sangat menghargai seni. Cara jadi wanita bahagia? Jangan peduli apa kata orang. Jika tak penting, masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Jangan biar ia mengganggu emosi dan minda kamu.

Sub-Editor