Cosmopolitan - Majalah Paling Laris Di Dunia
temu duga

8 Kesilapan Yang Boleh Mengancam Kerjaya Impian Kamu

Dalam ramai-ramai calon, mungkin ada yang akan melakukan kesilapan ketika temu duga. Nasib baik kamu bukanlah orangnya sebab dah baca artikel ini…

temu duga

 1. Laman Twitter Kamu Menjelikkan

“Saya akan menjenguk laman Twitter bakal pekerja saya. Walaupun ia tidak formal, timeline yang dibanjiri dengan ‘u’s’ dan ‘luv’s’ buat kamu tampak seperti 12 tahun. Memang tak sesuai diambil bekerja,” akui seorang majikan. Perkara lain yang perlu dielakkan: Tweet semasa waktu bekerja, asyik bercerita tentang rancangan mahu berlibur atau mencarut. Apa yang lebih baik? Kamu ‘retweet’ sesuatu yang berfaedah dan ‘mention’ mereka yang terkenal di dalam sesuatu industri.

 

2. Terlalu Menggunakan ‘Orang Dalam’

Majikan menjangkakan kamu akan menggunakan ‘orang dalam’ untuk mendapatkan temu duga. Tetapi kajian terbaru oleh Universiti Michigan, Amerika Syarikat mendapati 32 peratus daripada syarikat-syarikat ternama, menerima resume daripada ibu bapa bagi pihak anak-anak mereka. Nampaknya Ibu bapa kamu lebih berminat dengan jawatan tersebut berbanding kamu! Minta ibu bapa atau kenalan rapat memperkenalkan kamu, kemudian hantar e-mel atau telefon sendiri bagi menunjukkan minat untuk dihubungi. Tidak melibatkan ibu bapa untuk peringkat seterusnya membuktikan kamu seorang yang matang dan betul-betul komited dengan karier.

 

3. Kamu ‘Angkat Bakul’ Sendiri Tentang Kepakaran Digital

Untuk pengetahuan kamu; mengatakan kamu amat mahir menggunakan Microsoft Office samalah seperti mengatakan kamu seorang yang pakar menggunakan peti simpanan suara. Jadi jangan terlalu tekankan kemahiran kamu di situ. Hanya kerana kamu gemar tweet, kamu sudah ‘chop’ dirimu sebagai seorang yang celik media sosial. Semua orang pun begitu. Banyak resume yang menyenaraikan ‘media sosial’ sebagai kemahiran, sedangkan kamu hanya tahu melayari Facebook. Melainkan kamu ada pengalaman dalam bidang analisis, kempen yang diheboh-hebohkan, atau menguruskan sebuah akaun dengan lebih 100,000 pengikut, itu lain ceritalah.

 

4. Kamu Terlalu Peramah

Tiada masalah untuk mahu ambil tahu tentang penemu duga menerusi laman LinkedIn atau Google sebelum berjumpa. Ada kemungkinan mereka pun lakukan perkara yang sama terhadap kamu. Cara ini memang bagus untuk mendapatkan beberapa info yang boleh hilangkan rasa kekok bila pertama kali bertemu. Tapi hati-hati dengan cara kamu gunakan maklumat mereka. “Saya pernah memberitahu seorang calon yang saya main bola tampar semasa zaman kolej, sama sepertinya. Kemudian dia tanya berapa ketinggian saya…dan suruh saya berdiri dekat dengannya bagi memastikan saya tidak berbohong,” kongsi seorang majikan. Kekalkan suasana profesional, walaupun bila berbual hal peribadi.

 

5. Kamu Mengangkut Banyak Barang

Tinggalkan barang yang tak perlu di rumah. Jangan bawa beg berlambak-lambak ke sesi temu duga, rasa macam sesi ini tempat untuk kamu berehat sebelum menyambung sesi beli-belah. Kamu juga akan kelihatan seperti serabut dan belum bersedia. Jangan lupa habiskan air kopi kamu sebelum masuk bilik temu duga.

 

6. Kamu Terlalu Memuji Keistimewaan, Bukan Jawatan Yang Ditawarkan

Walaupun kamu dapat menghadiri sesi temu duga di Google sekalipun, tahan diri daripada menyebut hal seperti kafeteria atau suasana yang hebat dan fokus terhadap perkara yang membuatkan kamu dibayar gaji. Kamu perlu sukakan syarikat itu kerana kerjanya, bukan keistimewaan yang dimilikinya. Kongsikan juga minat dan bakat yang boleh menyemarakkan tugas kamu nanti.

 

7. Kamu Berhias Berlebih-lebih

Laman web seperti renttherrunway.com buatkan bersiap untuk temu duga tampak senang. Tetapi penampilan berlebihan kadang-kadang boleh memberikan kesan sebaliknya. “Ada seorang calon, kelepuk letak clutch miliknya di atas meja saya semasa temu duga hendak bermula. Jelas sekali dia mahu saya melihat begnya. Saya rasa dia menggunakan begnya kerana tidak cukup yakin dengan bakat yang ada,” kata seorang majikan. Tak salah jika mahu berketerampilan kemas, dan memakai pakaian berjenama, cuma jangan terlalu menunjuk-nunjuk sangat (walaupun kamu memohon jawatan dalam industri fesyen-percayalah, mereka pasti akan perasan).

 

8. Kamu Terlalu Awal Bercerita

Tunggu sehingga kamu sudah keluar dari bangunan pejabat sebelum menelefon sesiapa saja untuk bercerita tentang temu duga kerja. “Salah seorang calon sedang berbual telefon semasa berada di dalam tandas dan sedang menceritakan bagaimana dia dapat melepasi temu duga tersebut. Dia terlalu berlagak, jadi kami tak hubunginya terus,” akui seorang lagi majikan.

 

Foto: 123rf.com

 

Suka mengembara, cuba resipi baru, buat cross-stitch, masuk muzium – tapi kebanyakannya sempat buat dalam fikiran saja sebab susahnya nak cari masa terluang! Lebih suka memerhati daripada bercakap (penat kan cakap banyak?) dan sangat menghargai seni. Cara jadi wanita bahagia? Jangan peduli apa kata orang. Jika tak penting, masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Jangan biar ia mengganggu emosi dan minda kamu.

Sub-Editor