Cosmopolitan - Majalah Paling Laris Di Dunia
7 Bau 'Miss V' Kamu Perlu Ambil Tahu

7 Bau ‘Miss V’ Kamu Perlu Ambil Tahu

‘Miss V’ mempunyai beberapa jenis aroma semula jadi dan perbezaannya bergantung pada tahap kesihatan kamu. Ketahui penjelasannya dengan membaca lebih lanjut. 

Foto: Shutterstock.com

 

‘Miss V’ mempunyai bau semula jadi yang dihasilkan sendiri oleh tubuh wanita. Namun, ramai wanita tidak selesa dengan bau tersebut sehingga ada yang berusaha untuk mengharumkannya dengan menggunakan pelbagai produk kewanitaan. Tapi ia sebenarnya boleh membahayakan kesihatan ‘Miss V’ kamu!

Disclaimer: Hati-hati! Terlalu taksub menggunakan produk kewanitaan boleh menyebabkan jangkitan kulat dan jangkitan bahagian intim.

Hakikatnya, bau ‘Miss V’ boleh berubah-ubah pada waktu yang berlainan walaupun dalam bulan yang sama. Setiap individu mempunyai bau badan tersendiri yang sering berubah. Sama juga dengan bau bahagian intim yang berubah ketika kamu sedang haid. Peluh selepas bersukan dan hubungan intim tanpa mengunakan kondom juga boleh menyebabkan ia bertukar bau, tetapi keadaan ini hanya sementara saja.

Tahukah kamu, perbezaan bau ‘Miss V’ juga boleh dijadikan sebagai penunjuk tahap kesihatan seseorang wanita?

 

Berbau seperti roti basi

Jangkitan kulat biasanya hanya mendatangkan rasa gatal-gatal, atau sakit ketika kencing tanpa disertai bau. Tapi ada pula keadaan di mana vagina kamu mungkin berbau seperti roti yang telah disimpan terlalu lama. Pernah tak kamu terbau aroma seperti ini?

Jangkitan faraj selain dari jangkitan kulat boleh menunjukkan simptom yang sama. Tetapi kamu boleh bezakan jenis jangkitan dari bau yang dikeluarkan. Bila vagina berbau seperti ragi, atau roti, ada kemungkinan kamu terkena jangkitan kulat.

 

Berbau busuk

Jika kamu pengguna tampon dan mendapati bau yang busuk, jumpa doktor kamu dengan kadar segera. Bau busuk itu mungkin disebabkan tampon yang terperangkap di dalam ‘Miss V’ dan tidak boleh dikeluarkan.

Ini adalah perkara yang biasa dan sering terjadi dan tampon yang terperangkap di dalam vagina hanya boleh dikeluarkan oleh doktor pakar. Penggunaan tampon untuk jangka masa yang terlalu lama tanpa diganti juga membawa risiko penyakit teruk seperti Toxic Shock Syndrome. Jika kamu pengguna tampon, kamu perlu rajin menukar tampon ketika datang haid, okey!

 

Bau hanyir seperti ikan

Jika ‘Miss V’ kamu mula mengeluarkan bau hanyir seperti ikan, ini boleh menunjukkan dua jenis jangkitan. Bacterial vaginosis yang terjadi apabila bakteria tumbuh dengan berlebihan sehingga mengganggu keseimbangan pH. Jika bau hanyir semakin kuat selepas hubungan seks, maka ada kemungkinan besar kamu mengalami bacterial vaginosis.

Trichomoniasis adalah sejenis jangkitan seksual yang senang merebak tetapi boleh diubati. Jika ‘Miss V’ kamu berbau hanyir, disertai lendir berwarna kehijauan, dan rasa sakit semasa buang air kecil, maka kemungkinan besar kamu mengalami trichomoniasis.

 

Bau musk

Bau ini pada dasarnya adalah bau ‘Miss V’ yang paling kuat. Ini biasanya berlaku ketika kamu berpeluh dengan banyak, memakai seluar dalam yang terlalu ketat, atau seluar dalam yang diperbuat dari bahan sintesis. Jika baunya sangat kuat, segeralah hubungi doktor kerana ia boleh menandakan vagina kamu terkena jangkitan.

 

Mengeluarkan bau seperti logam

Jika ‘Miss V’ kamu mengeluarkan bau seperti ini, kamu tidak perlu bimbang. Vagina akan berbau seperti logam atau darah semasa haid. Darah yang bercampur dengan bau semula jadinya akan membuatnya mengeluarkan bau seperti logam.

 

Berbau seperti cecair peluntur

‘Miss V’ yang berbau seperti cecair peluntur, atau klorin adalah perkara normal. Hal ini terjadi kerana penggunaan kondom atau pelincir saat berhubungan intim.

 

Berbau manis atau berbau bawang putih

Jika ‘Miss V’  kamu berbau manis atau berbau bawang putih, ia disebabkan oleh apa yang telah kamu makan. Jika kamu makan buah asam seperti limau atau nanas, bau bahagian intim kamu akan berbau manis.

Sebaliknya, jika kamu mengambil makanan yang mengandungi banyak bawang merah, bawang putih, ataupun brokoli, ia juga boleh menyebabkan vagina kamu berbau seperti itu.

 

Kalau tak kenal nampak macam sombong, tapi bila dah kenal rupanya ‘gila-gila’ dan kaki sakat orang. A social butterfly in the concrete jungle that is Kuala Lumpur. Mudah bergaul dan sukakan cabaran serta hargai perbualan mendalam. Curious most of the time, sexy always. Put my best foot forward and is a perfect cocktail of Carrie and Samantha.

Love Expert