Cosmopolitan - Majalah Paling Laris Di Dunia

4 Aktiviti Ekstrem Untuk Cabar Diri

Kamu jenis berdikari dan tak gentar melakukan aktiviti lasak serta berbahaya? Jom melancong ke luar negara dan cuba aktiviti mencabar yang Cosmo cadangkan ini.

MENDAKI DI HALF DOME, TAMAN NEGARA
Yosemite, California, Amerika Syarikat
Setinggi 1,500 meter dari Lembah Yosemite, Half Dome adalah legenda di kalangan pendaki. Untuk yang gemar hiking, cuba ajak teman kamu ke sini. Memerlukan masa seharian dan jerih untuk sampai ke puncak, jarak 120 meter terakhir ‘kubah’ ini hampir menegak 90 darjah. Kamu perlukan kabel logam sebagai bantuan untuk menjejakkan kaki di puncaknya. Di peringkat ini, kemalangan paling banyak berlaku dan dilaporkan, kira-kira 60 orang terbunuh. Pada 2011 seramai tiga pendaki maut, dengan dua daripadanya dihanyutkan arus di bawahnya. Jika itu belum cukup menggerunkan, ini mungkin dapat memberikan gambaran lebih jelas: Sesetengah pendaki maut kerana disambar petir!

 

BERBASIKAL DI GUNUNG BERAPI
Kilauae, Hawaii, Amerika Syarikat
Taman Negara Gunung Berapi Hawaii melaporkan sebanyak 40 kematian dan 45 kecederaan serius antara 1992 hingga 2016. Pada 2007, aktiviti berbasikal di Kilauea, tempat gunung berapi paling aktif di dunia dihentikan selepas tiga maut dalam tempoh setahun. Kini dibuka semula, pelancong terdorong untuk ke puncak gunung berapi sebelum boleh berbasikal ketika menuruni cerunnya. Risiko yang ditempah? Hilang kawalan, cedera parah, melecur akibat terkena lahar dan terhidu gas beracun yang membunuh. Ada berani?

 

MELUNCUR DI TEAHUPOO,
Tahiti, French Polynesia
Agak sukar untuk mencari ombak besar di Malaysia, jadi kamu boleh perbaiki skil meluncur di sini: Teahupoo, Tahiti. Disenaraikan sebagai salah satu antara 10 lokasi berombak besar paling bahaya di dunia, ia menjadi lokasi kejohanan dunia setiap tahun dengan ombak yang boleh mencapai ketinggian tujuh meter – bersama kekuatan yang boleh menyebabkan kematian atau kecederaan parah! Nama Teahupoo jika diterjemah adalah Tempat Tengkorak.

 

SKYDIVING
Jumeira, Dubai
Terjun dari udara sambil melihat keindahan pokok kelapa sawit di Dubai mungkin antara pemandangan terbaik yang pernah wujud. Pulau Jumeira sangat cantik dan skydive di sini ‘wajib’ bagi kamu yang meminati aktiviti ini. Pastinya ramai penerjun yang impikan pengalaman sebegini, kan? Antara terjunan yang boleh kamu cuba adalah Tandem Jump dan Accelerated Freefall. Cubalah sekali seumur hidup… Kalau nak cabar diri daripada rasa gayat, aktiviti ini memang ‘the bomb’.

 

Foto: 123rf.com

Tubuh saja genit, tapi suara saya satu dewan boleh dengar (macam tertelan speaker!). Seorang yang periang dan suka record diri sendiri memasak, sesuailah dengan column saya – Lifestylist. Lavish holiday is so me. Nampak macam manja tapi can get the job done. Saya kaki karaoke dan orang kata suara saya seperti Ning Baizura. When it comes to navigation, I am the best!

Lifestylist