Cosmopolitan - Majalah Paling Laris Di Dunia

3 Lokasi Terbaik Untuk Si Kaki ‘Lobster’!

Kamu gemar makanan laut atau lebih spesifik lagi udang karang? Ini restoran pilihan Cosmo yang menawarkan sajian lobster hebat dengan harga berpatutan. Memang demam lobster!

PINCE & PINTS

32, Jalan Telawi 5, Bangsar Baru, Kuala Lumpur
Waktu Operasi: 5pm – 11pm

Jika kamu peminat setia udang karang, kunjungan kamu ke sini pasti tidak menghampakan kerana setiap hidangan menyajikan seekor lobster dengan anggaran berat 600 gram hingga satu kilogram. Menu lobster di Pince & Pints agak terhad tetapi ia mementingkan kualiti dalam setiap hidangan. Apa yang istimewa di sini? The Lobster Roll pasti buat kamu di awang-awangan dengan kombinasi sos garlic aioli serta perahan lemon. Untuk sajian Live Whole Lobster, kamu boleh pilih cara udang karang dimasak sama ada panggang atau rebus. Sajian ini dihidang bersama salad, kentang goreng dan sos mentega herba. Sajian signature dari Singapura iaitu Chilli Lobster menggunakan ramuan seperti tomato roma, cili, serai, bawang putih dan telur untuk sos, cukup sesuai dimakan bersama roti kukus mantou. Setiap hidangan berharga RM158. Untuk minuman, Cosmo cadangkan minuman khas iaitu Bangsar Mule gabungan jus oren, limau nipis, pudina dan sirap halia. Sangat refreshing!

STEAKS & LOBSTERS
42, Jalan 24/70a, Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur
Waktu Operasi: 5.30pm – 12am

Jika pasangan kamu alah pada makanan laut, kamu boleh kunjungi Steaks & Lobster kerana restoran ini menghidangkan dua sajian utama iaitu stik dan udang karang. Si dia boleh memilih daripada pelbagai rangkaian daging lembu antaranya Aussie grass-fed, Angus grain-fed atau wagyu. Semua sajian stik dilengkapi hidangan sampingan yang boleh ditambah semula seperti salad kentang, kentang goreng, sayur-sayuran, coleslaw dan pelbagai jenis sos. Si dia dijamin pulang ke rumah kekenyangan dan gembira! Berbeza pula dengan sajian udang karang, kamu boleh cuba Lobster Pesto Pasta di mana seekor udang karang digunakan untuk setiap hidangan ini. Jika kamu suka berkongsi, bolehlah pesan Steaks & Lobster 4-Sampler Platter. Dalam hidangan ini terdapat kupang, sotong, chicken wing dan lobster cake berserta sos. Memang sedap!

THE RED LOBSTER
G-17, The Intermark, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur
Waktu Operasi: 11am – 10pm

Untuk pembuka selera, apa kata kamu cuba Lobster Bisque iaitu sup udang karang bersama garlic bread. Teksturnya cukup mewah kerana kepekatan udang yang telah dicincang. Selain itu kamu juga boleh cuba Lobster Pizza yang jarang dihidang di restoran sebegini. Rotinya rangup serta tipis dan kombinasi isi udang, keju mozarela, daun selasih serta tomato segar menjadikan rasanya cukup serasi. The Red Lobster juga menawarkan Island Seafood Feast iaitu hidangan platter yang boleh dikongsi ramai. Dalam hidangan ini terdapat ekor udang karang, kaki ketam, dan udang yang boleh kamu cicah bersama mango pineapple salsa. Untuk minuman, cuba moktel enak seperti Bay Breeze, Blue Hawaiian, dan Mango Mai Tai.

Foto: 123rf.com

 

Tubuh saja genit, tapi suara saya satu dewan boleh dengar (macam tertelan speaker!). Seorang yang periang dan suka record diri sendiri memasak, sesuailah dengan column saya – Lifestylist. Lavish holiday is so me. Nampak macam manja tapi can get the job done. Saya kaki karaoke dan orang kata suara saya seperti Ning Baizura. When it comes to navigation, I am the best!

Lifestylist