15 Nasihat Kerjaya Yang Kamu Tak Pernah Tahu
Cosmopolitan - Majalah Paling Laris Di Dunia
nasihat kerjaya

15 Nasihat Kerjaya Yang Kamu Tak Pernah Tahu

Profil LinkedIn yang mantap serta kasut tumit tinggi baru tidak akan menjamin kamu melangkah jauh dalam kariermu. Cosmo kongsi beberapa rahsia dan nasihat yang kami yakin pensyarah kamu tidak beritahu tentang dunia pekerjaan.

nasihat kerjaya

 

1) IA BUKAN SEMATA TENTANG KAMU

Mereka hanya mengajar kamu tentang bagaimana untuk menyerlahkan kehebatan kamu seolah kamu sebuah produk untuk dijual, tapi apa yang sebenarnya kamu perlu ‘jual’ adalah apa yang kamu boleh sumbangkan dan beri perubahan kepada syarikat. Ia bukan berkaitan apa yang telah kamu lakukan tapi lebih kepada apa yang kamu boleh lakukan untuk mereka di masa depan. Pengalaman di tempat kerja lama boleh membuktikan keupayaan serta kelebihan kamu tapi ia bukanlah satu perkara yang hanya perlu kamu fokuskan.

 

2) MAJIKAN TIDAK PEDULI KULIAH APA YANG KAMU AMBIL

Mempunyai pendidikan berkualiti merupakan perkara penting, tapi ia tidak memberikan kamu jaminan 100 peratus. Ramai yang akan melihat keputusan akademik kamu hanya sebagai syarat dan bukan sebagai pencapaian. Mereka lebih cenderung terhadap kemahiran kamu, pengalaman dan bagaimana kamu akan melaksanakan tugas. Contoh terbaik yang kami suka adalah Oprah Winfrey, di mana dia berhenti Universiti semasa dia separuh jalan untuk menghabiskan Ijazah muda.

 

3) APA YANG KAMU PELAJARI DI KULIAH TIADA BEZANYA DENGAN YANG LAIN

Kamu perlu menunjukkan sesuatu yang baru dan tidak lapuk. Ia sangat naif jika kamu percaya bahawa dengan mempunyai keputusan akademik yang kukuh, penglibatan kokurikulum tambahan serta melakukan latihan amali akan mendapatkan kamu pekerjaan. Untuk jawatan yang memerlukan Ijazah Muda, perkara ini merupakan sesuatu yang biasa dan tiada ‘wow’. Keinginan, sikap yang tidak ego dan semangat untuk jawatan tersebut yang akan menjayakan kamu.

 

4) KAMU MUNGKIN TIDAK DAPAT MENGUBAH MINAT KAMU MENJADI SATU KARIER

Untuk berjaya melakukannya, kamu perlukan bakat yang luar biasa, dedikasi berterusan dan sedikit tuah. Selalunya, perkara seperti ini tidak selari. Tidak mengapa. Peluang selalunya datang selepas kamu penat bertungkus lumus dan kamu akan lebih menghargainya.

 

5) KEMAHIRAN MEDIA TIDAK BOLEH TERLALU DITEKANKAN

Kamu perlu memahami bagaimana kehadiran media memberi efek kepada wang serta pelanggan dan kamu perlu mengetahui cara yang tepat untuk memberikan kelebihan kepada syarikat. Ia berkenaan penjenamaan dan pemasaran pada skala besar tapi pada masa yang sama lebih peribadi. Syarikat kamu perlu mencapai pelanggan dengan cara yang unik tapi universal. Internet dan kuasanya tidak akan hilang dek zaman.

 

6) BOLEH BEKERJA SECARA EFEKTIF DENGAN ORANG YANG KAMU TIDAK SUKA

Projek berkumpulan kadang-kala boleh menjadi susah tapi ia membantu kamu bekerja dengan pelbagai ragam manusia. Bukan hanya untuk bertolak ansur tapi untuk bekerja bersama sehingga mencapai pengakhiran yang positif.

 

7) KETAHUI TINGKAH LAKU YANG SESUAI

Pensyarah kamu mungkin memberikan kamu sedikit kelonggaran apabila melihat kamu bermain telefon bimbit semasa kuliah. Tapi untuk melakukan perkara sama semasa mesyuarat? Lupakan niat kamu itu!

 

8) KEPENTINGAN AKAUN SOSIAL MEDIA PERIBADI KAMU

Kamu tahu ia penting untuk tidak memuat naik apa-apa perkara yang kurang sopan dan tidak profesional. Tapi adakah kamu sedar akan blurred lines di antara ‘peribadi’ dan juga ‘bisnes’? Untuk beberapa bidang karier, ia sangat wajar dan membantu jika kamu sudah mempunyai pengikut sedia ada.

 

9) KAMU TIDAK BOLEH BERSIKAP PASIF MENCARI KERJA

Kamu tidak boleh menghantar beratus resume serta jemputan LinkedIn dan fikir bahawa kamu akan menyerlah. Banyak syarikat tidak menyenaraikan jawatan kosong secara awam ataupun boleh dicari di Internet. Selalunya, kamu perlu berusaha lebih. Kamu perlu bersedia untuk menjalani latihan amali, bekerja secara percuma serta keadaan yang kurang sesuai.

 

10) BUKTIKAN PENGALAMAN KAMU

Jangan hanya bercakap dan bermegah. Gendong tanggungjawab jawatan baru dengan membuktikan diri kamu layak. Bukan sekadar cakap kosong saja.

 

11) TERAP ETIKA KERJA YANG BAIK

Majikan kamu boleh ‘menghidu’ sikap buruk terutama perangai malas dan usaha kamu akan dinilai mengikut tahap prestasi kamu. Alasan kamu tidak akan diambil endah. Tarikh akhir untuk hantar kerjamu tidak akan dilanjutkan. Apa jua alasan ataupun rungutan tentang kerja kamu yang bertimbun dan hanya mempunyai masa yang singkat untuk laksanakannya, tidak akan dilayan.

 

12) PROFESIONALISME DIGITAL TERLETAK PADA KESEDERHANAAN 

Jangan menggunakan warna dalam e-mail, fancy fonts, tanda seru dan sebagainya. Tapi pastikan laman sesawang peribadi kamu tidak kelihatan seperti dikarang menggunakan Office 95 Word. Apabila tiba masa untuk ‘promosikan’ diri kamu, penampilan merupakan kunci. Kamu boleh mengawal arah perhatian yang kamu mahukan dan untuk tempoh berapa lama.

 

13) TIADA ISTILAH SOALAN BODOH

Tapi kamu perlu ketahui bila masanya untuk berdiam. Kamu tidak boleh rujuk penyelia kamu tiap kali timbulnya masalah. Kamu perlu belajar untuk bertindak, mengatasi serta menguruskan sesuatu dengan sendiri.

 

14) JADI PEKERJA YANG DISENANGI UNTUK BEKERJA SAMA

Kamu memerlukan poker face yang sangat hebat, baik dan menghormati penyelia kamu walaupun ada perkara yang kamu tidak bersetuju dengannya. Kamu juga perlu menjadi anggota kumpulan yang membantu serta ketua pasukan yang memahami pada masa yang sama.

 

15) KAMU MEMERLUKAN PEMIKIRAN SEORANG INOVATOR

Ini memerlukan lebih banyak usaha berbanding menjadi pasif dan merupakan sifat yang sangat penting walaupun ia adalah sesuatu yang tidak boleh diajar. Ia adalah satu corak pemikiran yang perlu kamu cipta untuk dirimu sendiri.

 

Foto: 123rf.com

Suka mengembara, cuba resipi baru, buat cross-stitch, masuk muzium – tapi kebanyakannya sempat buat dalam fikiran saja sebab susahnya nak cari masa terluang! Lebih suka memerhati daripada bercakap (penat kan cakap banyak?) dan sangat menghargai seni. Cara jadi wanita bahagia? Jangan peduli apa kata orang. Jika tak penting, masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Jangan biar ia mengganggu emosi dan minda kamu.

Sub-Editor